Untung Bersih Maybank RM2.15b
ABDUL WAHID (kiri) bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Khairussaleh Ramlimenerangkan laporan kewangan suku kedua Maybank di Menara Maybank, KL, semalam.
Perolehan meningkat 13 peratus berbanding RM1.88 bilion sebelumnya
MALAYAN Banking Bhd (Maybank), bank terbesar dari segi jumlah aset, berada dalam landasan terbaik untuk mencatat keuntungan tahunan tertingginya berikutan pemerolehan keuntungan bersih RM2.15 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember lalu, meningkat 13 peratus berbanding RM1.88 bilion sebelumnya.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata keputusan separuh pertama tahun kewangan 2011 yang lebih baik itu turut meletakkan asas untuk mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh pada masa depan.
Abdul Wahid berkata, pengembangan di peringkat serantau itu bukan saja menyokong pertumbuhan perniagaan perbankan antarabangsa Maybank tetapi meletakkannya dalam landasan tepat untuk muncul sebagai antara peneraju utama sektor kewangan di ASEAN menjelang 2015.
Mengulas prestasi kewangan lebih baik bagi separuh pertama berakhir 31 Disember 2010 itu, beliau berkata, keuntungan lebih tinggi itu disumbangkan pertambahan pendapatan dalam semua perniagaan kumpulan selain peruntukan lebih rendah bagi kerugian pinjaman.
Kumpulan itu meraih pendapatan RM6.44 bilion dalam separuh pertama tahun kewangan 2011, meningkat 5.1 peratus daripada RM6.13 bilion tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh berkenaan, operasi kumpulan di Indonesia terus menjadi penyumbang utama pendapatan setelah menyaksikan pertumbuhan pinjaman 27.3 peratus diikuti Maybank Islamic (23.5 peratus), operasi Singapura (17.8 peratus), operasi antarabangsa lain (20.9 peratus) dan Perkhidmatan Kewangan Komuniti (10.1 peratus).
Abdul Wahid berkata, keputusan lebih baik itu juga hasil daripada program pembaharuan peringkat kumpulan yang dilaksanakan sejak Julai tahun lalu.
“Maybank turut mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi bagi segmen pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila pinjaman bagi sektor itu sudah diperluaskan meliputi semua cawangan berbanding hanya melalui pusat perniagaan Maybank sebelum ini,” katanya.
Jelasnya lagi, faktor lain menyumbang kepada pertumbuhan itu termasuk pengembangan perniagaan perbankan Islam di Indonesia menerusi penubuhan Maybank Syariah Indonesia dan langkah mengambilalih Kim Eng Holdings bagi mengembangkan kehadiran Maybank dalam segmen perbankan pelaburan di rantau ini.
Abdul Wahid berkata, berikutan keputusan kewangan yang lebih baik itu, Maybank turut mengumumkan pemberian dividen awal 28 sen sesaham.
“Ia mewakili nisbah pembayaran 71.4 peratus, mengatasi garis panduan pemberian dividen umum sebanyak 40 peratus hingga 60 peratus, dan akan dibayar tidak lewat daripada tiga bulan selepas pengumuman,” katanya.
Sementara itu, Abdul Wahid ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pengambilalihan Kim Eng, berkata proses itu dijangka selesai Mei ini dengan sebahagian pembiayaan pembelian dibuat menerusi terbitan bon dalam dolar Singapura.
Post a Comment