Header Ads

Najib gesa perubahan ekonomi




KUALA LUMPUR - Malaysia perlu membuat perubahan ekonomi dalam rangka untuk mencapai kedudukan setara dengan kumpulan negara yang mencapai status negara berpendapatan tinggi, pada 2020.

Dalam laporan Program Transformasi Ekonomi: Hala Tuju untuk Malaysia, di sini, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha mencapai aspirasi itu bukanlah mudah kerana jalan untuk mencapainya sangat mencabar.

Katanya, dalam kedudukan Malaysia hari ini, jika rakyat tetap pada jalur yang sama, negara akan melalui jalan sukar untuk terus meningkatkan pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup.

“Namun, jika kita melipatgandakan usaha bagi menarik pelaburan, memacu peningkatan dalam produktiviti dan terus berinovasi, saya ercaya, kita akan dapat bersaing dengan jayanya dalam ekonomi global dan mencapai status berpendapatan tinggi yang diharapkan,” katanya.

Kerajaan komited dalam mencapai visi negara dengan memperkenalkan dan melaksanakan program yang boleh memperkasakan ekonomi negara seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan dan konsep 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan', serta persediaan asas Model Baru Ekonomi.

Najib berkata, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap bidang di mana negara memiliki kelebihan daya saing dengan memberi keutamaan kepada pelaburan dana awam dan sokongan dasar untuk memacu pertumbuhan utama, seperti 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“Maknanya, peranan kerajaan dalam pendekatan terhadap pertumbuhan ekonomi perlu ditukar daripada peneraju utama kepada penyokong dan pemudah cara, manakala pertumbuhan diterajui sektor swasta,” katanya.

Menurutnya, hala tuju ETP yang dibina bersandarkan hala tuju dasar, strategi dan program dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), mengandungi sasaran mantap untuk membangunkan idea kepada tindakan yang akan menghasilkan pertumbuhan setiap NKEA. - Bernama

Sumber : Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.