Gua Musang “Kampung Wifi” pertama di Kelantan
GUA MUSANG 26 Okt  — Gua Musang menjadi jajahan pertama di Kelantan  menerima perkhidmatan melayari internet tanpa wayar secara percuma  melalui program “Kampung Wifi” melibatkan 30 buah kampung dalam jajahan  itu.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri, Dr. Rais  Yatim berkata, selaras dengan usaha kerajaan memberi kemudahan itu  kepada semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar, kementeriannya  akan melaksanakan Kampung Wifi secara berperingkat dalam tempoh  terdekat.
Beliau berkata perkara itu sudah dirancang lebih awal lagi kerana  kerajaan mahu rakyat di semua peringkat sama ada di bandar atau luar  bandar menikmati kemudahan terbabit secara sama rata.
"Buat kali pertama di Kelantan kita lancarkan dahulu Kampung Wifi di  Gua Musang kerana ramai penduduk menunggu-nunggu perkhidmatan itu,”  katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampung Wifi di  Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah, di sini hari ini. 
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan  Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas, Abdul Aziz Yusoff, Pengerusi  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli dan  ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.— Bernama
Sumber :  
 









 
 
Post a Comment