Header Ads

Hanya 22 Peratus Pencarum KWSP mempunyai Simpanan Yang Cukup Untuk Hari Tua


PETALING JAYA: Hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menampung kehidupan mereka dalam tempoh persaraan.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP Balqais Yusoff berkata, 78 peratus pencarum lagi tidak mempunyai asas caruman mencukupi untuk tempoh persaraan mereka.

Sambil menyatakan dari sudut pandangan KWSP bahawa realiti persaraan hari ini agak menyedihkan, beliau berkata daripada 6.7 juta pencarum KWSP yang aktif, 65 peratus daripada mereka mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan.

"Jadi, ini bermakna, berdasarkan definisi kami, di mana pesara akan memerlukan sekurang-kurangnya RM820 sebulan dalam tahun-tahun persaraan, mereka yang mempunyai simpanan RM50,000 hanya boleh bertahan selama lima tahun sebelum simpanan mereka kehabisan.

"Itupun jika mereka boleh bertahan hidup dengan RM820 sebulan. Kita tahu RM820 itu tidak cukup, di mana dengan jumlah itu hari ini, mungkin anda boleh berbelanja untuk barangan runcit dan itulah realiti kehidupan hari ini," katanya kepada Bernama, di sini.

Balqais berkata, jumlah simpanan asas RM196,800 untuk persaraan dikira sebagai RM820 sebulan.

Beliau berkata, pada hari ini KWSP mempunyai kira-kira 14.5 juta pencarum di mana 6.7 juta yang menyumbang sekurang-kurangnya sekali setiap 12 bulan dianggap sebagai pencarum aktif.

Katanya, struktur gaji yang rendah di negara ini adalah penyumbang utama kepada keadaan itu, di mana 89 peratus daripada penduduk yang bekerja mendapat kurang daripada RM5,000 yang diterjemahkan kepada kadar simpanan yang lebih rendah untuk KWSP.

"Dari segi kadar sumbangan, Malaysia adalah yang kelima tertinggi di dunia dari segi simpanan mandatori. Namun disebabkan struktur gaji ia tidak boleh diterjemahkan kepada bilangan simpanan yang tinggi," katanya.
Walaupun struktur gaji merupakan satu isu, beliau menjelaskan beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan terutamanya dasar gaji minimum di mana apabila kadar caruman dijajarkan dengan gaji minimum, keadaan itu akan bertambah baik.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa mengkaji semula struktur gaji dan gaji minimum juga perlu dijajarkan dengan kos sara hidup yang terus meningkat," katanya.

No comments

Powered by Blogger.