Header Ads

Nasib peserta Pilih Kasih

 

 

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2010 - Artis pilih kasih. Diwan Nawi, Ana Dahlia (putih) dan Zulin Aziz (merah).Gambar Digital: Asmaruddin Jamaluddin / Pemberita: Ifdal

(Dari kiri) Ana, Zulin dan Diwan berasa cukup bertuah dipilih sebagai peserta akhir Pilih Kasih.

 

RANCANGAN realiti televisyen (TV) Pilih Kasih yang menyediakan platform kepada ketiga-tiga artis baru ini untuk menjejakkan kaki di persada seni lakonan tanah air.

Rancangan yang diterbitkan oleh produksi milik aktor Rosyam Nor, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu ternyata berada di landasan yang tepat dalam melahirkan bakat-bakat seni untuk mewarnai industri hiburan tempatan.

Dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), pada tahun lalu, musim pertama Pilih Kasih (PK) disiarkan menerusi TV2 dengan dua slot berbeza iaitu Pentas Pilih Kasih (PPK) dan Kisah Pilih Kasih (KPK).

PPK merupakan siaran mingguan yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu drama, monolog dan teater. Manakala KPK memaparkan kisah di sebalik tabir penglibatan artis-artis PK sepanjang program realiti TV itu bersiaran.

Sejurus tamatnya PK musim pertama yang menobatkan Iqbal Mazlan selaku juara sulungnya, muncul beberapa nama baru dalam dunia lakonan yang berjaya menjadi perhatian pengarah dan penerbit drama mahu pun filem.

Antaranya ialah Ana Dahlia, Zulin Aziz dan Diwan Nawi yang kini dilihat semakin murah rezeki mereka di bidang lakonan.

Maka tidak hairanlah apabila Suhan Movies dan RTM bekerjasama sekali lagi untuk menerbitkan musim kedua program realiti itu.

Heroin filem Mantra, Ana Dahlia atau nama sebenarnya, Diana Mastura Jaafar, 27, boleh dikatakan antara artis PK yang paling menyerlah.

Disingkirkan pada minggu ketiga, ia bukanlah halangan buat Ana untuk meneruskan cita-citanya bergelar pelakon.

Malah, dia berasa bangga apabila dipilih sebagai salah seorang peserta yang tersenarai sebagai 20 terbaik.

Katanya, mungkin rezeki untuk bergelar juara PK tidak berpihak kepadanya. Tapi, setiap orang dicorakkan masa depan yang berlainan.

“Penyingkiran saya bukanlah penamat untuk segalanya. Bahkan, sejak detik itulah perjalanan seni saya baru bermula.

“Dikeluarkan awal daripada PK memberi kelebihan buat saya. Saya berpeluang untuk mengenali orang industri lebih awal berbanding mereka yang masih bersaing di dalam PK.

“Disebabkan itu, saya merupakan peserta paling awal yang ditawarkan untuk berlakon,” jelas Ana.

Bekas pramugari Air Asia ini cukup bertuah apabila Rosyam sendiri memilihnya untuk membintangi sebuah telefilem raya berjudul Salam Terakhir.

Kata Ana, dia cukup berbesar hati kerana Rosyam yang dianggap sebagai guru lakonannya itu sanggup memilihnya sebagai pelakon utama drama itu.

“Pelakon baru mana yang tidak mahu digandingkan dengan Rosyam? Ia adalah cita-cita saya sejak kecil.

“Walaupun Rosyam sedar saya masih mentah dalam dunia lakonan, tapi dia percaya dengan bakat yang ada dalam diri saya.

“Ada orang kata, lakonan saya macam kayu. Namun semua itu saya anggap sebagai kritikan membina untuk saya lebih maju,” cerita Ana mengenai pengalaman pertamanya sebagai pelakon.

Lakonan terbaru Ana kini boleh disaksikan menerusi drama bersiri Arjuna dan Tiga Serumah yang disiarkan di saluran Warna Astro.

No comments

Powered by Blogger.