Header Ads

Penstrukturan semula Kabinet dalam masa terdekat - Najib

NAJIB: Penstrukturan semula Jemaah Menteri Persekutuan dan lantikan baharu bagi memenuhi keperluan terkini serta pengisian jawatan akan diumumkan dalam masa terdekat.


KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula jemaah menteri Persekutuan akan dibuat dalam masa terdekat selepas peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan pemergian timbalannya Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Penstrukturan semula Jemaah Menteri Persekutuan dan lantikan baharu bagi memenuhi keperluan terkini serta pengisian jawatan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam entri terbarunya di blog NajibRazak.com, malam ini.

Katanya beliau telah menerima peletakan jawatan oleh Uggah.

Najib berkata Uggah telah berkhidmat dengan cemerlang dan banyak menyumbang kepada sektor komoditi dalam jawatan sebelum ini, antaranya penubuhan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit yang telah membantu dalam memastikan kestabilan harga sawit dan membangunkan industri hiliran.

Katanya kecemerlangan ini akan beliau (Uggah) bawa dalam jawatan baharu sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Pada masa sama, Najib berkata "kita masih lagi bersedih dengan tragedi yang menimpa rakan seperjuangan kita ketika bertugas di Sarawak".

Dalam insiden pada 5 Mei lepas, helikopter Eurocopter AS350B yang dipandu oleh warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas terhempas di kawasan Sebuyau, Sarawak dan mengorbankan lima lagi penumpang termasuk Noriah  dan suaminya Asmuni Abdullah.

Turut terkorban Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Dr Sundaran Annamalai, Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun.

Dalam pada itu, Najib melahirkan rasa syukur kepada rakyat di Sarawak kerana terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11).

Beliau berkata kesinambungan kepada itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem telah mengumumkan Kabinet negeri yang baharu semalam.

"Berdasarkan lantikan dan pemilihan, saya lihat bahawa komposisi dari segi kaum dan parti adalah saksama dan adil, mewakili kepentingan semua pihak," katanya.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada Uggah, Tan Sri Dr. James Jemut Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Najib berkata beliau percaya mereka yang telah dilantik akan berkhidmat bersama-sama Adenan dengan setulus hati dalam membawa Sarawak lebih maju dan berjaya.
"Kepada ahli-ahli Kabinet negeri Sarawak, selamat menjalankan tugas dan menunaikan janji Barisan Nasional," katanya.

Pada PRN-11 Sabtu lepas, BN Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

No comments

Powered by Blogger.